RSS

Remaja,oh Remaja..

20 Mar

Sejak akhir-akhir ini, gejala sosial di Malaysia nampaknya semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Jika dulu setiap kali isu sosial ini timbul, masyarakat akan terus mencemuh dan mengaitkannya dengan budaya kehidupan Barat. Istilah ‘budaya kuning’ cukup popular suatu waktu dulu bagi menggambarkan kehidupan bebas di Barat yang menjadi kegilaan muda-mudi di Malaysia. Waktu itu, masyarakat masih memandang keji “budaya import” ini yang telah merosakkan akhlak, khususnya golongan muda. Tahun demi tahun berlalu, istilah budaya kuning semakin terhakis dan terus hilang dari kamus. Dengan kata lain, ‘budaya kuning’ itu telah kehilangan kuningnya dan kini telah menjadi ‘budaya kita’. Sebab itulah, gejala sosial yang berlaku kini bukanlah merupakan satu perkara asing lagi di dalam masyarakat. Masyarakat nampaknya sudah ‘lali’ dengan apa yang berlaku dan sudah pasrah dengannya, bak kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa’.

Hampir setiap hari kita didedahkan dengan bermacam-macam laporan tentang masalah salah laku remaja. Berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan sudah terlalu lumrah, sehingga ia tidak lagi dilakukan di tempat yang tersorok, malah telah berlaku secara terang-terangan di tempat awam. Jika dulu kes-kes berpeluk, cium dan raba adalah fenomena yang hanya berlaku di tasik-tasik, kini ia boleh dilihat di mana-mana, termasuklah di kedai-kedai mamak sekalipun. Budaya rempit sudah tidak terkata dan semakin hari mereka semakin menunjukkan belang. Ini terjadi setelah golongan mat rempit ini semakin mendapat perhatian kerajaan, seolah-olah mereka ini telah diberi satu ‘pengiktirafan’. Baik di bandar mahupun kampung, golongan ini sudah tidak memilih tempat lagi, asalkan ada jalan raya. Lebih buruk, aktiviti rempit ini turut melibatkan golongan remaja perempuan. Apa yang paling menyedihkan kita ialah, mereka ini semuanya beragama Islam! Malah sebahagian besar kes gejala sosial yang berlaku di Malaysia adalah melibatkan muda-mudi Islam!

Masihkah Anda Ingat?

Dahulu(kurang 3 tahun lalu), kita pernah digemparkan dengan laporan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah dibuat oleh pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, Dr. Khaidzir Ismail telah mendedahkan bahawa hanya seorang sahaja daripada subjek-subjek ujikaji berjumlah 887 remaja bermasalah masih belum pernah melakukan ’hubungan seks’. Laporan tersebut telah menjadi isu kontroversi di mana penemuan tersebut telah dikritik hebat oleh Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang menyatakan hasil laporan tersebut tidak boleh diguna pakai kerana terdapat kesalahan dari segi statistik serta definisi.
Cukup malang apabila kita mendengar kes ini dianggap sebagai kes kecil sahaja, apatah lagi bila dikatakan tidak perlu menghukum remaja dengan (kajian) kes-kes sebegini. Mungkin kerana ia melibatkan remaja maka ia dianggap kes kecil dan tidak perlu menghukum, tetapi jika ia melibatkan mana-mana Datuk atau Menteri, maka kes ini adalah kes besar dan perlu dihukum. Mungkin juga kerana ia dilakukan secara suka sama suka oleh remaja yang berkenaan, maka ia dianggap sebagai kes kecil sahaja dan tidak perlu menghukum remaja kerananya, tetapi jika remaja memaksa (mencabul kehormatan/merogol) remaja lain, barulah kes ini dikatakan besar! Pelik! Apakah standard/ukuran yang digunakan? Walhal di dalam Islam, sesiapa sahaja yang berkhalwat, berzina (suka sama suka) atau merogol, sama ada rendah atau tinggi status sosialnya sekalipun, jika ia dilakukan oleh orang yang telah baligh dan berakal, maka ia wajib dihukum. Dengan kata lain, kes ini wajib diselesaikan, bukan dibiarkan. Daripada statistik yang dikeluarkan oleh PDRM pula, pertumbuhan kadar jenayah sosial adalah sentiasa meningkat setiap tahun. Kini, adakah kita perlu pasrah dengan kenyataan bahawa peningkatan kadar jenayah tersebut sebagai suatu yang lumrah? Apakah kita tidak mahu mengubah keadaan ini? Apakah tidak wujud penyelesaian bagi masalah ini di dalam agama Allah?

Kaedah Penyelesaian Yang Tidak Menyelesaikan

Mereka yang terlibat dengan gejala yang diketengahkan ini rata-ratanya menjalani kehidupan mereka dengan melakukan tindakan tanpa matlamat yang jelas atau tanpa matlamat langsung. Tanpa matlamat dan hala tuju kehidupan yang jelas ini, maka perbuatan-perbuatan manusia akan dilakukan berdasarkan miqyas (penilaian) yang tersasar dari jalan yang diredhai oleh Allah. Ada masanya mereka ini melakukan tindakan-tindakan bodoh kerana menjadi pak turut kepada satu pandangan hidup yang terpesong. Konsep kebebasan hidup yang dipeloporkan oleh ideologi ciptaan Barat telah meracuni minda umat Islam di Malaysia hingga ianya menjadi asas kepada pembentukan asas nilai kepada tindak-tanduk mereka.

Budaya hedonisme dan budaya lain dari Barat yang mengajak kepada pemenuhan tuntutan nafsu dan keseronokan secara maksima menjadi ikutan bagi muslim yang tiada kefahaman terhadap tujuannya dihidupkan di atas muka bumi ini. Ini ditambah pula dengan sistem kehidupan yang diamalkan kini telah meletakkan nilai-nilai pincang pujaan Barat sebagai asas nilai kehidupan masyarakat. Pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah dilihat sebagai satu tanda kemajuan dalam pembentukan masyarakat yang lebih maju, bukan dilihat sebagai pelanggaran terhadap perintah Allah. Cinta sebelum kahwin dan “permulaan zina” dibiarkan dan dipandang enteng oleh masyarakat. Sambutan “Valentine Day” juga disambut meriah oleh umat islam “sebiji” seperti orang kafir sehingga mereka yang tidak melakukannya dilihat sebagai kolot atau ketinggalan zaman. Undang-undang yang ada pula dengan mudah dipermainkan apabila nilai denda/hukuman yang dikenakan langsung tidak menggerunkan. Pihak berkuasa pula lebih memandang masalah sosial ini sebagai isu individu dan bukannya satu jenayah besar yang mesti dibanteras sekeras-kerasnya.

Setiap kali berlakunya kes-kes baru yang dihangatkan oleh media, seringkali kita dibentangkan dengan pelbagai kaedah penyelesaian yang kononnya dapat menangani permasalahan yang timbul. Masyarakat telah lumrah dengan ”pakej penyelesaian” yang kerap diulang-ulang seperti memberikan pendidikan agama yang secukupnya, menyediakan lebih banyak pusat-pusat didikan dan kaunseling, melaksanakan undang-undang yang lebih ketat dan sebagainya. Sebagaimana yang telah disebutkan, setakat ini pelbagai jalan penyelesaian telah diambil. Rata-rata pendekatan yang selalu dicadangkan selama ini lebih banyak dilihat cuba mengubati simptom-simptom yang berlaku dan bukannya mengubati penyakit sebenar. Masalah remaja rosak akhlak, merempit, terjerumus ke lembah maksiat dan penagihan dadah adalah simptom yang timbul daripada penyakit sebenar. Ibarat kata, jika atap sebuah rumah itu bocor dan menyebabkan air menitis setiap kali hujan melanda, penghuni rumah tersebut sibuk mencari penyelesaian dengan mengambil baldi atau lain-lain bekas untuk menakung air yang bocor itu. Mereka sibuk berbincang dan bertelagah sesama sendiri sama ada baldi atau besen yang lebih sesuai. Mereka juga sibuk berbincang saiz baldi dan besen yang akan digunakan. Persoalannya, apakah selesai masalah dengan pendekatan sebegini, jikapun yang diambil itu adalah baldi atau besen emas sekalipun? maka inilah yang dikatakan mengubati simptom, bukan puncanya. Jika beginilah caranya, masalah yang timbul tidak akan pernah dapat diselesaikan!

Penyelesaiannya hanya dengan Islam

Justeru apa yang ingin diutarakan ialah penyelesaian yang hakiki bagi semua permasalahan hidup manusia adalah kembali kepada Islam. Kerana yang menjadi penyakit sebenar dan punca kepada segala masalah ialah tidak diterapkan syari’at Islam di dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Negara telah menggantikan hukum Islam dengan hukum kufur(selain islam). Pemikiran sekular(memisahkan Islam dari kehidupan) pula telah meresap sebati dengan umat Islam, khususnya para pemimpin yang di tangan mereka terdapat kuasa membuat undang-undang. Oleh kerana telah sebati dengan sistem kufur dan pemikiran sekular, maka di dalam menyelesaikan masalah pun, umat Islam telah berfikir dengan cara berfikir seperti orang-orang kafir, yakni menggunakan akal di dalam berhukum. Kitab Allah dibuang, sunnah Rasul dicampak, undang-undang ciptaan manusia dijulang. Inilah punca kepada segala masalah yang menimpa umat Islam. Jadi, satu-satunya cara yang hakiki di dalam menyelesaikan setiap inci masalah ialah umat Islam wajib kembali kepada kehidupan Islam, wajib berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan dan wajib mengikuti sunnah RasulNya di dalam segala aspek kehidupan. Barulah dikatakan kita menangani punca kepada masalah, bukan simptomnya. Jika tidak, maka umat Islam sebenarnya telah mengikuti jejak langkah syaitan yang menyesatkan!
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya(kaffah), dan janganlah kamu turuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.” [TMQ Al-Baqarah,2: Ayat 208].

Apabila sistem/peraturan yang mengatur kehidupan itu baik, maka tidak akan ada unsur-unsur yang boleh mendorong manusia untuk melakukan kejahatan atau jenayah. Dalam erti kata lain, hanya sistem islam yang mampu mengarahkan kecenderungan manusia ke arah ketenteraman. Dengan terpenuhnya segala tuntutan naluri manusia yang asas akan mampu untuk memastikan terkawalnya manusia daripada melanggar batas-batas syari’at. Sesiapapun perlu memenuhi keperluan fizikalnya (hajatul udhawiyyah) dengan cara makan, minum, bernafas dan sebagainya. Begitu juga semua manusia memerlukan ketenangan dengan memenuhi naluri (gharizah) yang dimilikinya. Contohnya naluri seksual (gharizatun-nau’/sexual instinct), jika tidak diatur sesuai dengan Islam tentu akan mengakibatkan kerosakan akhlak dan gejala sosial di kalangan masyarakat dengan merebaknya kes-kes rogol, homoseks, lesbian, pergaulan bebas dan sebagainya. Dalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita, bentuk pakaian bagi wanita, cara memandang wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh peraturan (nizham) Islam. Dalam perlaksanaan sistem Islam, tanggungjawab perlaksanaannya terletak ditangan setiap ahli masyarakat dan juga Negara. Masyarakat wajib mengubah kemungkaran yang dilihat, manakala Negara pula adalah satu institusi pelaksana (qiyan tanfizi) yang terpenting, yang mana Negaralah yang akan menghukum setiap orang yang melanggar hukum Allah. Jadi, dengan kata lain kehidupan itu wajib diatur dengan sistem Islam, dan jika masih wujud pelanggaran, maka Negaralah yang akan mengenakan hukuman(uqubat) terhadap setiap pelaku maksiat tersebut dan hukuman itu mestilah uqubat Islam, bukannya hukuman akal ciptaan manusia. Perlaksanaan uqubat Islam ini akan mewujudkan dua fungsi iaitu sebagai zawajir (pencegahan) dan jawabir (penebus dosa di akhirat).

Yang amat mendukacitakan, setakat ini hukum Islam tidak pernah dicadang untuk diterapkan apabila membincangkan setiap masalah. Walhal inilah penyelesaian yang haikiki. Sepatutnya kita semua (terutama para pemimpin) berusaha bersungguh-sungguh ke arah penerapannya secara kaffah, bukan mempertikaikannya. Sekiranya ada pemimpin yang tidak faham, apa yang wajib mereka lakukan ialah belajar bersungguh-sungguh memahaminya untuk kemudian mengamal dan menerapkannya dalam Negara. Jika untuk hukum kufur mereka boleh dan sanggup berusaha bersungguh-sungguh menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mempelajarinya, menggubal, membahaskan dan menerapkannya, kenapa tidak untuk hukum Islam? Hanya mereka yang memiliki ketakwaan yang tinggi sahaja yang akan sanggup berkorban untuk menggenggam hukum Allah ini, walaupun ia umpama menggenggam bara api. Bagi para pelaku maksiat yang tidak memiliki ketakwaan, maka golongan ini hanya boleh diubah dengan adanya sebuah sistem yang datangnya dari Allah yang akan mengubah mereka. Saidina Usman bin Affan r.a pernah berkata, “Sultan (kekuasaan) itu akan meluruskan manusia yang tidak dapat diluruskan oleh Al-Quran.” Maksudnya, jika manusia itu tidak mengikuti apa yang diperintahkan oleh Al-Quran, maka pemimpinlah (Khalifah) yang akan menghukum mereka (yang akan meluruskan mereka). Semoga Sistem Islam (Khilafah) ini segera muncul dan akan meluruskan semula manusia serta dapat mengembalikan kehidupan Islam sama ada di dalam kehidupan individu, bermasyarakat dan juga bernegara.
Wallahu a’lam.

 

Label:

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: