RSS

Rekod Yang Tiada Makna Sama Sekali Di Sisi Islam

15 May
Bekas komando pecah rekod berjalan 410km untuk sambut Ulang Tahun Ke-64 UMNO

KUALA LUMPUR 11 Mei – Bekas komando Abdul Halim Yaakob mencatat sejarah dengan memecah rekodnya sendiri dalam Malaysia Book of Records dengan berjalan tanpa henti sejauh 410 kilometer dari Butterworth ke Kuala Lumpur dengan hanya mengambil masa hampir 29 jam. Mengambil semangat perjuangan UMNO sebagai galakan, beliau berjalan secara solo dari Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, Butterworth pada 8.20 pagi semalam dan tiba di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1.10 tengah hari ini.  Pada 30 Ogos, tahun lepas, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-52, beliau mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records dengan berjalan kaki tanpa henti secara solo sejauh 410km selama 50 jam 40 minit dari Pulau Pinang ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. 

Abdul Halim, 50, berkata, kejayaan yang memberangsangkan kali ini adalah kerana ia dilakukan dengan serius di mana beliau telah berlatih tanpa henti termasuk berjalan 24 jam mengelilingi Pulau Pinang sempena sambutan Tahun Baru 2010, mendaki bukit dan berjalan ke Sungai Petani serta ke Taiping.  “Saya lakukan ini (berjalan kaki) sempena sambutan ulang tahun ke-64 UMNO untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mampu melakukan sesuatu yang luar biasa dan ini adalah hadiah daripada saya buat UMNO,” katanya ketika ditemui malam ini.   “Banyak cabarannya namun saya bersyukur kerana dapat melepasi segala halangan,” katanya.  Anak kelahiran Kampung Bukit Teh, Bukit Mertajam itu ditemani isterinya, Halipah Yusoff, 40, dan anak saudaranya, Azuber Ahmad, 32, yang membawa makanan, minuman serta kotak pertolongan cemas dengan menunggang motosikal.  Abdul Halim yang menyifatkan kejayaan hari ini sebagai paling berharga, berkata tindakannya itu didorong oleh amanat arwah bapanya, Salleh Ahmad yang merangsang supaya melakukan sesuatu untuk mengharumkan bangsa Melayu tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.  “Ini adalah amanat ayah. Alhamdulillah saya dapat laksanakannya. Walau saya hadapi sedikit cabaran, saya dapat sudahkannya,” katanya. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 12/05/10

Pengorbanan Yang Sia-sia

Inilah akibatnya apabila mendasarkan sesuatu perbuatan atau amal berdasarkan perasaan semata-mata, bukannya pemikiran yang jernih dan cemerlang. Apalah hebatnya kejayaan berjalan kaki sejauh 410 kilometer yang dikatakan memecah rekod dalam Malaysia Book of Records dengan berjalan tanpa henti jika ia hanyalah sekadar untuk mengharumkan nama bangsa Melayu. 29 jam tanpa henti….bagaimana dengan solatnya??

Wahai umat Islam! Manusia tidak akan gah di sisi Allah SWT di hari akhirat melainkan mereka yang beriman dan yang beramal soleh. Tidak ada kemuliaan sedikitpun kepada bangsa Arab, Turki mahupun Melayu. Inilah kejayaan UMNO sebagai parti sekular apabila berjaya melahirkan ahlinya yang terbenam di dalam lumpur keharaman ashobiyyah – berbangga dengan amalan yang diharamkan oleh Islam. Berbeda dengan para sahabat Nabi SAW dan generasi yang terdahulu, mereka sanggup melakukan pengorbanan jiwa dan harta mereka semata-mata untuk meninggikan agama Allah SWT. Lihatlah pengorbanan Saad bin Abi Waqas untuk Islam! Diberitakan kuburnya ada di Negeri China. Begitu jauh Saad berjalan ke China semata-mata untuk menyebarkan Islam. Lihatlah kehebatan Thariq bin Ziyad yang menjadi panglima Perang Islam semasa zaman Khilafah Umayyah sehingga berjaya membuka Andalusia! Hebatnya beliau sehingga berjaya mengembangkan Islam ke wilayah yang begitu jauh dari ibu kota Daulah Islam ketika itu. Bandingkan kata-kata Thariq bin Ziyad  dengan kata-kata Halim di atas. ” Kita datang ke sini tidak untuk kembali. Kita hanya punya pilihan,menaklukkan negeri ini dan menetap di sini, atau kita semua syahid.”- [Thariq bin Ziyad].

Wahai kaum Muslimin! Tinggalkanlah amalan yang sia-sia dan berlumba-lumba melakukan kebaikan sebagaimana yang ditunjukkan oleh para sahabat dan mereka yang beriman. Ingatlah firman Allah: ”Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya”. [TMQ An- Nuur (24) : 39]. FirmanNya lagi: ”Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

“(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.  Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.  (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan”. [TMQ Al-Kahfi (18) : 103-106].

 
Tinggalkan komen

Posted by di 15/05/2010 in Tazkirah

 

Label:

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: