RSS

POLIGAMI YANG SAH DIHUKUM, JUDI YANG HARAM DIBENAR

25 May

POLIGAMI YANG SAH DIHUKUM, JUDI YANG HARAM DIBENAR
[SN220]
Kerajaan 1Malaysia sehingga kini masih memekakkan telinga dan menutup sebelah mata akan bantahan rakyat Malaysia terhadap kebenaran (lesen) judi yang mereka keluarkan kepada Berjaya Group sempena bola sepak Piala Dunia yang akan berlangsung nanti. Di sebalik dakwaan Najib bahawa konsep 1Malaysia-nya selari dengan Islam, namun apa yang kita dapat saksikan adalah pemerintahan Najib semakin hari semakin dipenuhi maksiat. Judi yang Allah sifatkan sebagai rijsun (najis) kini terlihat jelas memenuhi wajah pemimpin Malaysia. Inilah ‘hadiah’ dari sistem demokrasi kepada rakyat Malaysia di mana mengikut demokrasi, pihak yang berkuasa (kerajaan) adalah pihak yang berhak membuat undang-undang. Kerajaan secara kolektif, dan para menteri secara individu memiliki kuasa penuh untuk membuat undang-undang mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada mereka di bawah hukum demokrasi.
‘Kuasa’ mereka ini sungguh hebat di mana ia boleh mengatasi kuasa Allah SWT!!! Mereka boleh menghalalkan apa sahaja yang Allah telah haramkan! Dalam perkembangan lain, tetapi berkaitan, rakyat Malaysia telah ‘dihiburkan’ dengan satu lagi drama demokrasi di mana ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar, 51, dijatuhkan hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 18 Mei lepas atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah. Isterinya, pelakon Zizie Izette, 32, mengaku bersalah atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran mahkamah manakala tiga iparnya dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dan kesemua mereka didenda RM1,000, gagal bayar, enam bulan penjara. Di luar mahkamah, sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita berkumpul bagi membantah salah laku Ahli Parlimen Kinabatangan itu yang berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah. Kumpulan yang terdiri daripada gabungan tujuh NGO itu diketuai Pengarah Eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor, Maria Chin Abdullah turut mendesak Bung Mokhtar untuk meletak jawatan [Utusan Online akses 18/05/10].

Begitulah hakikat demokrasi di mana poligami yang sah di sisi Islam telah dijadikan satu kesalahan dan mesti dihukum jika dilakukan tanpa izin mahkamah. Manakala judi yang jelas-jelas haram di sisi Islam, dibolehkan, dibenarkan dan dihalalkan. Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain, kita tidak tahu lagi sejauh mana kes ini akan berlarutan kerana peguam Bung dikatakan sedang menyiapkan rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut. Bung Moktar bukanlah calang-calang orang, dia orang kuat UMNO dan seorang ahli Parlimen yang terkenal. Kebiasaannya, orang kuat UMNO mempunyai ‘imuniti’ yang kuat dari undang-undang, jika mereka tidak menjadi kambing hitam. Inilah sketsa dalam panggung demokrasi di mana segala undang-undang dibuat oleh manusia dengan mengetepikan segala undang-undang Allah. Bung kini sedang ‘merasakan’ sedikit penangan undang-undang kufur yang digubal oleh tangan-tangan manusia, termasuklah dirinya sendiri sebagai salah seorang penggubal undang-undang. Kita semua tahu bahawa mengikut undang-undang Islam, poligami langsung tidak memerlukan izin mahkamah, namun mengikut undang-undang demokrasi, izin mahkamah diperlukan, jika tidak, maka akan didenda atau dipenjarakan atau kedua-duanya sekali! NGO wanita yang telah dicemari dengan kebusukan demokrasi tidak berpuas hati dengan Bung Moktar dan menuntut beliau meletak jawatan, tetapi dalam masa yang sama tidak pula menunjukkan bantahan mereka kepada kerajaan Najib yang telah menghalalkan judi seterusnya menuntut Najib untuk meletak jawatan! Sautun Nahdhah kali ini bukanlah ingin terus memperkatakan isu ini, namun ingin memperbetulkan pemahaman masyarakat tentang poligami yang sering disalahfahami dan dijadikan isu perjuangan yang salah oleh sesetengah golongan.

Hukum Poligami Mubah, Keadilan Bukan Syarat

Allah SWT telah berfirman di dalam KitabNya yang mulia,

“Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua-dua, tiga-tiga atau empat-empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja, atau hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya”
[TMQ an-Nisa’ (4):3].

Ayat ini diturunkan kepada Nabi SAW pada tahun ke-8 Hijriah. Ramai orang sekarang salah faham bahawa ‘hukum asal’ kahwin di dalam Islam adalah seorang sahaja, lalu ayat ini turun dan membenarkan orang Islam (lelaki) untuk kahwin lebih dari seorang, sehingga (maksima) empat. Walhal sesungguhnya ayat ini diturunkan untuk ‘membatasi’ jumlah isteri pada batas maksima empat orang sahaja di mana sebelum ayat ini diturunkan, jumlah isteri bagi seorang lelaki tidak ada batasannya. Siapa sahaja yang meneliti dan memahami ayat ini dengan benar, akan nampak jelas bahawa ayat ini diturunkan untuk ‘mengehadkan’ jumlah isteri sehingga kepada empat orang sahaja, tidak boleh lebih dari itu seperti sebelumnya. Dengan pemahaman yang benar mengenai ayat ini, seseorang akan memahami bahawa Allah sesungguhnya menghendaki bahawa bilangan isteri bagi seseorang lelaki dikecilkan atau dikurangkan, bukannya ditambah atau diperbanyakkan. Justeru, pemahaman sesetengah orang bahawa Islam datang dan membenarkan bilangan isteri ditambah (dari satu menjadi empat), adalah salah dan keliru. Sebaliknya Islam datang mengehadkan bilangan wanita yang boleh dikahwini oleh seorang lelaki (dari tidak terbatas menjadi empat).

Di dalam ayat ini, bilangan matsna wa tsulasa wa ruba’ (dua-dua, tiga-tiga dan empat-empat) disebut secara sepadan dan berulang, yang membawa maksud ‘kahwinilah oleh kamu wanita-wanita yang baik-baik yang telah dibatasi dengan jumlah ini, dua-dua, tiga-tiga, atau empat-empat’. Seruan ayat ini ditujukan kepada manusia secara keseluruhan (al-khithab li al-jami’). Kerana itu, pengulangan itu harus dilakukan agar seruan itu mengena kepada setiap orang yang hendak menikahi beberapa wanita yang diinginkannya, dengan syarat, jumlah wanita yang hendak dinikahinya itu dibatasi dengan hitungan ini (tidak boleh lebih dari empat orang). Hal itu seperti ketika kita berkata kepada sekelompok orang, ‘Bahagilah oleh kamu harta ini’ dan sebagai contoh, jumlah harta itu adalah sebanyak 1000 dinar. Kemudian kita mengatakan, ‘Bahagilah oleh kamu harta 1000 dinar ini sebanyak dua dinar-dua dinar, tiga dinar-tiga dinar atau empat dinar-empat dinar seorang. Pengungkapan dengan bentuk matsna wa tsulasa wa ruba’ di dalam ayat di atas merupakan suatu kemestian sehingga apa yang ingin diungkapkan adalah berupa ‘jumlah /bilangan tertentu’ yang terkena bagi setiap orang. Manakala firman Allah “Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja” maknanya, ‘jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil di antara sejumlah wanita tersebut, maka pilihlah seorang wanita sahaja dan tinggalkanlah (keinginan) untuk menghimpun lebih dari seorang wanita’. Hakikatnya, memilih seorang wanita sahaja adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya. Kerana itu, frasa ‘adna alla ta’ulu’ membawa maksud lebih dekat kepada kamu tidak berbuat aniaya, kerana lafaz al-’aul maknanya adalah al-jur (aniaya). Aisyah RA menuturkan dari Nabi SAW,

“Agar kamu tidak berbuat aniaya, yakni agar kamu tidak berlaku zalim (tidak adil)” [HR Ibn Hibban].

Kebenaran berpoligami amat jelas di dalam ayat al-Quran di atas dan Allah SWT membatasi jumlah isteri bagi sang suami kepada empat. Akan tetapi, ayat tersebut juga memerintahkan agar seorang suami yang berpoligami berlaku adil di antara isteri-isterinya. Ayat tersebut menganjurkan untuk membatasi dengan seorang isteri sahaja, dalam keadaan takut tidak dapat berlaku adil. Ini adalah kerana, membatasi dengan seorang isteri sahaja dalam keadaan ini merupakan tindakan yang lebih dekat kepada tidak berbuat zalim. Sikap semacam ini harus dimiliki oleh setiap Muslim. Cuma, wajib difahami bahawa keadilan di sini bukanlah ‘syarat’ bagi ‘boleh’nya seseorang itu berpoligami, tetapi keadilan itu hanya merupakan ‘hukum’ bagi keadaan seorang laki-laki yang menikahi lebih dari seorang wanita. Maksudnya, wajib bagi seorang lelaki bersikap adil apabila ia berpoligami. Dan ayat ini juga merupakan dorongan untuk lelaki membatasi baginya seorang isteri sahaja dalam keadaan dia takut tidak dapat berlaku adil.

Dalam hal ini, makna kalimat dalam ayat tersebut telah pun sempurna pada firman Allah SWT, “Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua-dua, tiga-tiga atau empat-empat”. Ini bermakna, dengan ayat ini telah ada izin untuk berpoligami dengan bilangan yang disebutkan dan kalimat ini berhenti di situ. Kemudian, ia disambung dengan kalimat yang lain dan ungkapan yang lain pula pada firman Allah, “Fa in khiftum…” (Kemudian, jika kamu takut …); kalimat ini tidak berada dalam kedudukan sebagai ‘syarat’, kerana ia tidak bersambung dengan kalimat pertama dengan hubungan syarat. Akan tetapi, kalimat tersebut merupakan kalimat selanjutnya yang baru. Ia akan menjadi syarat jika ayat tersebut berbunyi, “fankihu ma thaba lakum min an-nisa’ matsna wa tsulatsa wa ruba’a in adaltum” (maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua-dua, tiga-tiga atau empat-empat jika kamu adil). Akan tetapi, ayat tersebut bukanlah sebegitu sehingga boleh dipastikan bahawa keadilan bukanlah ‘syarat’ untuk berpoligami. ‘Keadilan’ merupakan hukum lain yang berbeza dengan hukum yang pertama, yang (keadilan itu) wajib ke atas seorang suami setelah dia berpoligami. Hukum pertama membolehkan poligami secara mutlak (tanpa syarat) sampai batas maksima empat orang isteri. Setelah itu, datang hukum lain, iaitu bahawa yang lebih utama adalah membatasi satu orang isteri sahaja, jika seorang Muslim itu memandang bahawa berpoligami akan menjadikannya tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isterinya. Dan jika dia tetap berpoligami, maka terdapat pula hukum baru ke atasnya yakni dia wajib berlaku adil. Itulah pengertian ayat di atas.

Maksud “Adil”

Adapun ‘keadilan’ yang dituntut ke atas seorang suami terhadap isteri-isterinya (jika dia berpoligami), itu bukanlah keadilan secara mutlak (dalam segala hal). Keadilan di sini bermaksud berlaku adil terhadap isteri-isteri dalam batas kemampuannya sebagai seorang manusia untuk merealisasikannya. Ini adalah kerana, Allah SWT sendiri tidak membebani manusia kecuali dalam batas-batas kemampuannya, sebagaimana firmanNya,

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya”
[TMQ al-Baqarah (2):286].

Perlu difahami bahawa kalimah ta’dilu (adil) dalam surah 4:3 adalah berbentuk umum yang mencakup setiap bentuk keadilan. Akan tetapi, kata yang bersifat umum ini kemudian di-takhsis (dikhususkan) oleh ayat lain (iaitu) hanya dalam sesuatu yang mampu direalisasikan oleh manusia. Firman Allah,

“Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkontang-kanting” [TMQ an-Nisa’ (4):129].

Allah SWT telah menjelaskan di dalam ayat ini bahawa mustahil seseorang boleh berbuat adil dan berlaku sama rata di antara isteri-isterinya, sampai tidak ada kecenderungan sama sekali (kepada salah satunya). Kerana itu, Allah mengangkat dari seorang Muslim kewajiban untuk mewujudkan keadilan yang sempurna dan paling tinggi. Keadilan yang dibebankan kepada seorang Muslim tidak lain adalah keadilan yang mampu ia wujudkan, dengan syarat, ia telah mengerahkan segala kemampuan dan kekuatan yang ada padanya. Ini adalah kerana, taklif (pembebanan hukum) di luar batas kemampuan seseorang adalah termasuk suatu kezaliman. Padahal, Maha Suci Allah dari sifat zalim,

“Dan Tuhanmu tidak berbuat zalim kepada seorang juapun”
[TMQ al-Kahfi (18):49].
 
Lanjutan dari ini, firman Allah, “Kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai)” menjadi penjelas terhadap firmanNya, “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil” yang membawa maksud “kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil dalam membahagi cinta dan kasih-sayang”. Mafhumnya adalah, manusia mampu untuk berbuat adil kecuali dalam hal cinta dan kasih sayang. Inilah bentuk keadilan yang diwajibkan di dalam ayat sebelumnya. Oleh yang demikian, keadilan yang dituntut itu dikhususkan dalam hal selain cinta dan kasih sayang. Sebaliknya, cinta/kasih-sayang dan jima’ (persetubuhan) dikecualikan dari kewajiban berlaku adil itu. Kerana itu, dalam dua perkara ini, tidak ada kewajiban untuk berlaku adil sebab manusia sekali-kali tidak akan mampu berlaku adil dalam hal cinta dan kasih sayang. Pengertian semacam ini diperkuat oleh hadis yang diriwayatkan dari ‘Aisyah RA di mana ia menuturkan,

“Rasulullah SAW membahagi (giliran di antara isterinya) dan berupaya berlaku adil lalu baginda berkata, ‘Ya Allah, sesungguhnya inilah pembahagianku dalam apa yang aku miliki (kuasai). Maka janganlah Engkau cela aku dalam hal yang Engkau miliki (kuasai) sementara tidak aku miliki (kuasai)” [HR al-Hakim dan Ibn Hibban].

Maksud ‘yang dikuasasi Allah dan tidak dikuasai oleh Nabi SAW’ adalah hati beliau.

Sebagai tambahan, diriwayatkan dari Ibn Abbas RA tentang firman Allah SWT, “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil” di mana Ibn Abbas RA berkata, “yakni dalam masalah cinta dan persetubuhan”. Dalam ayat di atas, Allah SWT telah memerintahkan untuk menjauhkan diri dari ‘kullu al-mayl’ (terlalu cenderung). Ini bererti, Allah SWT memperbolehkan seseorang suami untuk cenderung terhadap isteri tertentu kerana mafhum dari larangan bersikap terlalu cenderung (kullu al-mayl) adalah, dibolehkan seseorang suami itu untuk cenderung (al-mayl)  terhadap isteri tertentu – tetapi tidak sampai terlalu cenderung. Hal ini adalah serupa dengan larangan bersikap boros, sebagaimana firmanNya,

“Dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya”
[TMQ al-Isra’ (17):29].

Ertinya, boleh menghulurkan tangan (membelanjakan harta) asalkan tidak sampai bersikap boros. Atas dasar ini, Allah SWT telah membenarkan suami untuk bersikap cenderung terhadap sebahagian isterinya. Akan tetapi, Allah melarang kecenderungan itu sampai mencakup segala hal. Namun cenderung yang dibolehkan itu adalah cenderung dalam hal yang berkaitan cinta (kasih-sayang) dan aktiviti seksual. Dengan demikian, pengertian ayat di atas adalah – jauhilah oleh kalian sikap terlalu cenderung, kerana jika kalian terlalu cenderung ia akan menjadikan seorang wanita atau isteri (yang diabaikan) itu terkontang-kanting, iaitu seperti tidak memiliki suami tetapi belum diceraikan (gantung tidak bertali). Telah diriwayatkan dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda,

“Siapa sahaja yang mempunyai dua orang isteri, lalu ia lebih cenderung kepada salah satu dan mengabaikan yang lain, nescaya ia akan datang pada hari Kiamat nanti berjalan sementara salah satu kakinya lumpuh atau pincang” [HR Ibn Hibban].

Atas dasar ini, keadilan yang diwajibkan atas seorang suami adalah berlaku sama rata di antara isteri-isterinya dalam hal yang ia mampu, seperti menginap di malam hari, dalam hal makanan, pakaian, tempat tinggal, dan lain-lain. Sedangkan, dalam perkara-perkara yang termasuk dalam pengertian ‘kecenderungan’, iaitu masalah cinta dan hasrat seksual, maka tidak diwajibkan keadilan di dalamnya, kerana hal itu memang berada di luar kemampuan manusia, dan hal itu dikecualikan (dari kewajiban berlaku adil) oleh nas Al-Quran [perbincangan di atas adalah ringkasan yang disunting dari kitab Nizamul Ijtima’ie Fil Islam, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani].

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Poligami adalah perkara yang diizinkan oleh Allah dengan jelas di dalam kitab suciNya, Al-Qur’anul kareem. Namun di Malaysia, di bawah undang-undang demokrasi melalui sebuah ‘kitab suci’ mereka yang bergelar ‘Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam’, poligami tidak dibolehkan, kecuali dengan izin Mahkamah Syariah!!! Walau tidak ada satu nas pun yang menyekat poligami sebagaimana sekatan yang ada pada hari ini, namun oleh kerana hukum demokrasi yang mereka amalkan itu lebih tinggi dari hukum Allah, maka kita menyaksikan bagaimana perintah dan larangan Allah diperkotak-katikkan dengan begitu mudah oleh mereka yang berkuasa. Mereka mengharamkan apa yang Allah halalkan dan mereka menghalalkan apa yang Allah haramkan. Semuanya dilakukan dengan seenaknya oleh mereka yang memegang kekuasaan tanpa rasa bersalah atau berdosa sedikitpun. Mereka beralasan bahawa apa yang mereka lakukan (dengan menggubal undang-undang itu dan ini) adalah untuk pembaikan, walhal sesungguhnya merekalah pelaku kerosakan yang nyata.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi’, mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang membuat kebaikan’. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat kerosakan tetapi mereka tidak menyedarinya”
[TMQ al-Baqarah (2):11-12].

 
 

Label:

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: