RSS

Kekasih Allah…

03 Aug

Saudara seperjuangan sekelian,

Sebagai makhluk ciptaan Allah, tiada siapa yang akan kekal di alam yang fana’ ini. Andainya kita ditakdirkan berpisah untuk selamanya di dunia ini, Insya-Allah, suatu hari nanti kita akan ketemu kembali jika diizinkan Allah. Yang pasti, kita akan berkumpul jua di satu hari yang telah ditetapkan Allah. Di hari itu, manusia pertama yang wujud di mukabumi juga akan bersama-sama berkumpul dengan kita. Dan manusia terakhir yang hidup di muka bumi tatkala Israfil meniup Sangkakala juga akan bersama-sama dengan kita. Di hari itu juga, kita sudah tidak punya masa untuk memikirkan apakah yang sedang dan bakal terjadi kepada saudara-mara kita. Yang hanya terlintas di kotak fikiran kita hanyalah satu persoalan, “Apakah untung nasib ku di mahkamah Allah ini ?”. Itulah perkumpulan yang akbar, perhimpunan di Padang Mahsyar. Di mana segala amal kebajikan dan amal kemungkaran mendapat perhitungan dan dinilai di mizan. Di situlah nanti akan terbukti sama ada ke syurgakah atau ke nerakakah tempat perhentian kita di negara yang kekal abadi.

Sahabat seperjuangan yang dikasihi sekelian.

Dalam kedamaian dinihari, dan kepekatan langit malam, bersama kesunyian yang dimeriahkan dengan bunyi cengkerik yang sedang berzikir, serta rukuk dan sujud yang merehatkan jiwa, di sebalik semua nikmat beragama ini, sebenarnya, tidak terhitung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah…

Saudara seperjuangan yang dikasihi sekelian,

Jika kamu mahu mengenang cerita dan derita,

Izinkan aku titipkan sebuah lembaran kisah mereka yang telah menderita kerana agama, berkorban dalam mencari nikmat beragama…!

Lokasi : Kota Madinah
Tarikh : Di saat dan kurun yang terbaik
Masa : ……………….

Pada suatu waktu, di saat, zaman dan kurun yang terbaik, berita sedih menyelubungi Kota Madinah. Di saat-saat Kota Madinah dalam keadaan genting menghadapi musuh kafir Quraisy, kesayuan dan kesyahduan menyelubungi hati dicelah-celah kegetiran para sahabat membuat persediaan menghadapi musuh. Petang itu, permaisuri hati kepada salah seorang sahabat Rasulullah SAW telah dijemput Allah kembali ke rahmat NYA. Suasana pilu dan hiba datang mengundang setelah ajal datang bertamu. Tinggallah segala harta dan keluarga di dunia, yang hanya turut serta adalah amal kebajikan yang bakal menyelamatkan diri di alam barzakh tatkala Mungkar dan Nakir datang bertamu.

Selesai jenazah dikebumikan, dengan wajah yang sugul, Abarkah memeluk satu-satunya anak tunggal hasil perkongsian hidupnya bersama arwah isteri tercinta. Si anak, yang baru berusia 5 tahun seakan tahu kesedihan yang ditanggung si ayah. Pelukan si ayah, dibalas dengan dakapan erat si anak. Di kucupnya dahi si anak sebagai ganti dahi isteri tercinta yang telah pergi, sambil titisan air matanya mengalir di pipinya. Linangan air mata si ayah jatuh setitis ke pipi si anak. Si anak terasa akan kehangatan air mata kasih si ayah. Lalu di tatap wajah si ayah sambil kedua tangannya di pipi si ayah. Dengan perlahan dan penuh kasih sayang, si anak mengusap air mata si ayah, sambil berkata …..

“Ibu sudah pergi. Saat ini ku harap bidadari syurga yang akan menemani ayah dan menjadi ibu ku di dunia ini.”… ujar si kecil.

Semakin erat anak kecil itu didakap si ayah. Kembalilah dua insan yang dipisahkan oleh ajal ke rumah dalam keadaan hiba, kehilangan orang tersayang. ………….

Keesokan harinya … sebaik sahaja selesai solat Subuh , Abarkah datang bertemu Nabi SAW.

Abarkah : Wahai Rasulullah, sebentar nanti pasukan tentera muslimin akan bergerak menuju ke medan jihad. Izinkanlah aku turut serta dalam pertempuran ini.

Permintaan Abarkah menarik perhatian para sahabat yang lain. Mampukah seorang yang baru kematian isteri dan mempunyai anak kecil berusia lima tahun, sanggup meninggalkan anaknya untuk berjihad ?

Rasulullah SAW menasihatkan Abarkah untuk tinggal di Madinah memandangkan dia baru sahaja kematian isteri. Lebih-lebih lagi anaknya, Basyir bin Abarkah masih dahagakan kasih sayang dari ibu dan ayah. Hanya Abarkah sahaja tempat Basyir menumpang kasih setelah pemergian ibu tercinta kembali ke rahmat Allah.

Berkata seorang sahabat kepada Abarkah :

Sahabat : Tidak kasihankah engkau kepada anak mu yang masih kecil ?

Abarkah : Kerana kasihanlah aku ingin turut serta dalam perjuangan ini. Andainya aku meraih rezeki untuk menjadi syuhada, terubatlah rindu anak ku kerana mempunyai bidadari sebagai ganti ibunya yang telah pergi.

Tersentak para sahabat mendengar jawapan Abarkah.

Akhirnya Rasulullah SAW mengizinkan Abarkah turut serta berbaris bersama tentera muslimin, bergerak maju ke medan jihad. Anaknya, Basyir Bin Abarkah diletakkan dibawah jagaan salah seorang sahabat. Sebelum berpisah, Abarkah meemui anaknya, Basyir.

Abarkah : Anak ku, ayah tinggalkan kamu bersama sahabat ayah. Ayah ke medan jihad untuk memburu syahid. Andainya ayah temui apa yang cari, pastinya engkau akan mempunyai ibu dari kalangan bidadari-bidadari syurga. (Sambil memeluk si anak dan mengucup dahinya)

Basyir : Pergilah ayah ku. Aku doakan engkau temui bidadari-bidadari syurga di medan jihad, buat menemani mu bertemu dengan ibu di akhirat sana. (Kata si anak dalam suara yang tertahan-tahan menahan sebak sambil air mata berlinangan dari kelopak matanya)

Bergeraklah barisan mujahid Islam menuju ke medan jihad. Basyir bin Barakah melambai sayu sambil melihat dari kejauhan, ayahnya hilang luput dari pandangan ………….

Basyir bin Abarkah … walau usianya baru 5 tahun Cuma, namun keperibadian yang terbina dek didikan ayah dan ibunya jelas terserlah dari tingkah laku dan tutur katanya. Masakan tidak, di usia 5 tahun, si anak sudah sanggup berpisah dengan ayahnya serta membakar semangat jihad si ayah semata-mata ingin melihat ayahnya menjadi syuhada. Tatkala si ayah berjuang di medan jihad, si anak pula dengan rasa berbesar hati, berjalan di kalangan anak-anak kecil yang menjadi teman sepermainannya sambil berkata :

“Ayah ku sedang berjihad untuk memburu syahid. Kelak dia akan temui apa yang di burunya dan imbuhan yang bakal diterimanya ialah masuk syurga tanpa hisab sambil dikelilingi oleh para bidadari di syurga ”

Masa berlalu …….

Akhirnya penduduk Madinah dikhabarkan bahwa tentera muslimin akan kembali setelah berjuang di medan jihad. Berita kepulangan tentera muslimin cepat tersebar di kalnagn penduduk.

ALLAHU AKBAR !!!

Takbir bergema, menyambut berita kepulangan para mujahid. Terukir senyuman di wajah-wajah para isteri dan anak-anak yang saban hari menanti kepulangan insan yang di rindui.

Nun di kejauhan di luar kota Madinah, kelihatan kepulan-kepulan habuk dan debu yang berterbangan menjulang ke langit kesan hentakan tapak kaki kuda dan unta milik tentera Islam.

Di sempadan luar kota Madinah, derapan tapak kaki kuda dan unta terhenti. Dan dalam suasana debu-debuan yang masih berterbangan, si anak-anak para sahabat sudah tidak sabar menunggu untuk bertemu dengan bapa-bapa mereka. Padang tempat permainan menjadi sunyi dan sepi. Masing-masing berlari menuju ke sempadanluar Kota Madinah bagi menyambut kepulangan ayah tercinta yang pulang dari medan jihad. Larian manja sambil diselang seli dengan suara hilai dan tawa anak-anak yang sedang merindu. Dalam larian kasih sayang, Basyir bin Abarkah telah mendahului kesemua perindu yang lain, walaupun usianya baru 5 tahun, tapi beliaulah yang paling maju di hadapan.
Aku ingin menyergah ayah ku (Ujarnya)

Maklumlah, dia baru belajar erti rindu. Tergambar senyum manis yang terukir di wajahnya. Matanya tajam merenung ke destinasi yang dituju.

Debu debu pun mulai berjatuhan turun ke bumi. Sedikit demi sedikit terpancullah wajah kuda dan wajah unta yang setia.

Dan debu debu pun masih terus turun ke bumi. Sedikit demi sedikit terlihatlah wajah bapa-bapa mereka. Maka si anak mula menerkam si bapa, dan bapa mulai menerpa si anak, mereka saling berpelukan menangis gembira melepaskan rindu dendam seolah olah sudah bertahun tidak bertemu. Bapa mana yang tidak merindui anak yang telah lama ditinggalkan ? Anak mana yang tidak merasa gembira bertemu bapa yang telah lama berpergian ?

ALLAHUAKBAR !!! ALLAHUAKBAR !!! ALLAHUAKBAR !!!

Laungan takbir memecah kesunyian ditengah-tengah emosi sang bapa dan anaknya yang sedang melayan kerinduan ……………..

Setelah beberapa ketika …… sempadan Madinah menjadi daerah sepi dan lengang. Tiada lagi kedengaran suara hilai tawa mahu pun tangisan gembira pengubat rindu si anak dan si ayah. Yang tingal hanyalah kesan tapak-tapak kaki manusia dan haiwan tunggangan.

Namun yang terlihat pada waktu dan ketika itu ………. Basyir bin Abarkah, budak yang berusia 5 tahun, seorang diri sedang melilau mencari ayahnya. Sudah puas ke kiri dan ke kanan… sudah jauh mata memandang, sudah penat menunggu, namun si ayah yang di rindu, tidak datang-datang!. Tidak kunjung tiba! Wajah yang tadinya ceria bersama ukiran manis terukir, tampak cemas …..

Ke mana ayah pergi?
Mengapa masih belum pulang?
(Bisik hatinya)

Dalam sisa-sisa kepulan debu debu yang masih tinggal berterbangan, terlihat satu kelibat lelaki sedang berjalan ke arah Basyir Abarkah. Si anak menyedari kehadirannya. Wajah yang cemas, kembali ceria. Lantas, si anak berlari menerpa ke arah lelaki tersebut dan mendakapnya dengan rasa gembira penuh kerinduan.

AYAH !!! AKU MERINDUI MU !!!! … teriak si anak.

Namun tiada sebarang reaksi yang diterima si anak. Si anak menyedari kekurangan ini. Lalu di dongakkan kepalanya bagi menatap wajah jasad yang didakapnya. Lelaki itu bukanlah bapanya, sebaliknya lelaki itu adalah Rasulullah Muhammad SAW .

Tersentak perasaan si anak. Di renungnya wajah Rasulullah SAW sedalam-dalamnya. Wajah yang tadinya ceria, kembali cemas. Pelipis mata si anak seakan-akan bergerak-gerak menahan perasaan. Terasa sebak dadanya. Lantas dengan suara yang sayu Basyir bertanya:

Di mana ayah ku?.

Rasulullah SAW merenung wajah anak comel ini dengan pandangan rahmatnya. Dari riak wajah baginda tergambar kesedihan yang di rasai si anak. Tak tergamak lidah baginda untuk melafazkan tutur kata kepada anak kecil yang baru sahaja kematian ibu. Baginda sendiri tidak mampu menahan perasaan sedih tatkala menatap wajah anak comel yang menanti jawapan baginda dengan penuh harap. Lantas Rasulullah SAW memalingkan wajahnya ke kanan sambil menahan sebak di dada kerana tidak sanggup untuk melafazkan kata kata.

Si anak segera bergerak ke kanan Rasulullah SAW dan terus bertanya dengan penuh pengharapan sambil tangan comelnya memegang hujung baju baginda:

“DI MANA AYAH KU ? MENGAPA DIA MASIH BELUM PULANG ?” …

tanya si anak dengan nada suara yang semakin mendesak. Wajahnya yang tadinya ceria, mula mengerut. Juraian air mata, tampak mengalir di sudut kelopak matanya berlinangan ke pipi.

Sekali lagi Rasulullah SAW memalingkan wajahnya ke kiri lantaran tidak sanggup untuk menuturkan kata kata. Terasa hati baginda bagai dihiris-hiris. Amat berat bagi baginda untuk menyampaikan suatu berita kepada si anak yang sedang menanti bersama seribu harapan. Sedang air mata si anak sudah mula gugur ke bumi, Basyir tidak berputus asa dan terus bergerak ke kiri Baginda ….

Di manakah ayah ku ? Mengapa dia masih belum pulang ?. … soalnya dengan suara yang semakin halus dan sayu menahan sebak dan sendu ………

Lalu manusia yang mulia itu duduk bersimpuh sama tinggi dengan si anak. Tangan kiri baginda memegang lembut bahu si anak. Sambil tangan kanannya mengusap-usap kepala si anak penuh kasih sayang. Di usap air mata si anak dengan tangannya yang mulia. Tampak di pipi baginda, titisan-titisan air mata baginda menahan perasaan pilu dan hiba. Dengan senyuman terukir sambil air mata berlinangan di pipi, Rasulullah menjawab dengan nada sedih dan pilu sedang tangan baginda di pipi Basyir….

“Anak.., Ayah mu telah syahid.”

Air mata si anak terus mengalir hangat …… di kala darah yang mengalir dari badan ayahnya sudah lama lenyap di telan bumi ……………………

Dalam kegembiraan kita menghirup udara di alam maya ini, dan kemeriahan menikmati kelazatan nikmat duniawi di samping insan yang kita cintai, serta ketenangan dalam beribadah tanpa risau berdepan dengan hujan peluru, di sebalik semua nikmat berugama ini, tidak terhitung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah ……

Sesungguhnya para kekasih Allah, mereka mengorbankan nyawa mereka agar kita memperolehi nikmat iman dan Islam. Kenangilah mereka dengan kengangan kasih sayang dan rahmat, agar pengorbanan mereka kita teladani.

Sekurang-kurangnya, kenanglah pada Basyir bin Abarkah agar subur hati kita untuk mengasihi anak-anak yatim …………………………

 
Tinggalkan komen

Posted by di 03/08/2010 in Tazkirah

 

Label:

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: