RSS

Bertaubat Sebelum Ajal Menjelang Tiba

15 Aug
Bertaubat Sebelum Ajal Menjelang Tib
Selasa, 10 Ogos 2010 19:21
Taubat secara etimologi (bahasa) berasal dari kata taba (fi’il madhi), yatubu (fi’il mudhari’), taubatan (mashdar), yang bererti “kembali” atau “pulang” (raja’a) (Haqqi, 2003). Adapun secara terminologi (menurut makna syar’i), secara ringkas Imam an-Nawawi mengatakan bahawa taubat adalah raja’a ‘an al-itsmi (kembali dari dosa) (Syarah Shahih Muslim, XVII/59). Dengan kata lain, taubat adalah kembali daripada meninggalkan segala perbuatan tercela (dosa) untuk melakukan perbuatan yang terpuji (‘Atha, 1993).

Adapun pengertian dosa (itsmun/dzanbun/ ma’shiyat), adalah melakukan perkara yang haram (irtikabul haram) seperti mencuri, berzina, minum khamr (arak), dan meninggalkan kewajiban (tarkul wajib) seperti meninggalkan solat, tidak berdakwah, dan tidak menjalankan hukum-hukum Allah di muka bumi (Al-Maliki, 1990).

Taubat tersebut adalah suatu kepastian bagi umat manusia. Ini kerana, tidak ada satu pun anak keturunan Adam AS di dunia ini yang tidak pernah berbuat dosa. Semua manusia, pasti pernah melakukan berdosa. Hanya para nabi dan malaikat sahaja yang tidak pernah melakukan dosa dan maksiat (lihat surah at-Tahrim [66]: 6). Manusia yang baik, bukanlah orang yang tidak berdosa, tetapi mereka yang bertaubat setelah melakukan perbuatan yang berdosa. Rasulullah SAW telah bersabda:

“Setiap anak Adam (manusia) mempunyai salah (dosa), dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka yang bertaubat.”
[HR. at-Tirmidzi dan Ibnu Majah] (‘Atha, 1993).

Apa yang menarik, dalam hadis tersebut ialah Rasulullah SAW menggunakan kalimat “anak Adam” (bani Adam) untuk menunjukkan pengertian “manusia”. Demikian itu, tentu mengandungi maksud tertentu. Antara lain adalah untuk mengingatkan kepada kita tentang sejarah Bapa kita, iaitu Nabi Adam AS sebagai manusia pertama yang bertaubat. Sebagai manusia, Adam (sebelum diangkat menjadi nabi) telah melakukan dosa dengan memakan buah dari pohon yang dilarang Allah untuk mendekati (memakan) buahnya (TMQ al-Baqarah [2]: 35). Namun, dengan segera Adam bertaubat dan Allah SWT pun menerima taubatnya. Allah SWT berfirman:

“Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Rabnya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
(TMQ al-Baqarah [2]: 37).

Sikap yang bertentangan dengan apa yang dimiliki oleh Adam, adalah sikap Iblis. Iblis itulah yang tidak mahu bertaubat kepada Allah untuk pertama kalinya setelah melakukan dosa. Allah SWT telah memerintahkan Iblis untuk bersujud (sebagai penghormatan, bukan menyembah) kepada Adam, tetapi Iblis tidak mahu mentaatinya. Iblis bersikap enggan menjalankan perintah Allah, bahkan bersikap takabbur lalu tergolonglah ia ke dalam golongan yang ingkar. (TMQ al-Baqarah [2]: 34).
 
Maka sebagai anak keturunan nabi Adam AS, sudah seharusnya bagi kita untuk mengambil pelajaran dan mengikuti sikap nabi Adam AS yang mahu bertaubat. Bukan mengikuti sikap Iblis yang takabbur dan enggan bertaubat setelah berbuat dosa. Padahal setiap perkara yang maksiat wajib bagi pelakunya untuk bertaubat.

Memang, secara syar’i setiap perbuatan yang mengundang dosa itu wajib ditaubati. Sebab taubat hukumnya adalah wajib untuk setiap dosa yang dilakukan, Tidak kira sama ada dosa itu adalah kerana mengerjakan larangan Allah (sesuatu yang haram), atau pun kerana meninggalkan perintah Allah (sesuatu yang wajib). Allah SWT berfirman:

“Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (TMQ an-Nur [24]: 31).

 “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya.”
(TMQ at-Tahrim [66]: 8).

 Ayat-ayat di atas menunjukkan adanya perintah bertaubat bagi orang-orang yang beriman (muslim). Taubat adalah ciri orang mukmin. Namun demikian, kewajiban taubat sesungguhnya juga ditujukan kepada orang kafir, bukan hanya kepada orang muslim. Sebab kekufuran adalah perkara maksiat yang terbesar sekali. Cara bertaubatnya ialah dengan cara masuk Islam.

Oleh kerana itu, kepada orang yang murtad sebelum dihukum mati, harus dilakukan istitabah, iaitu diminta untuk bertaubat taubat dengan masuk Islam semula. Khalifah Umar bin Khaththab ra telah melakukan istitabah kepada orang yang murtad dalam jangka waktu tiga hari (Al-Maliki, 1990).

Kewajiban taubat ke atas kaum kafir ditunjukkan oleh berbagai dalil, antara lain firman Allah SWT:

“Jika mereka berhenti (dari kekafirannya) , nescaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang telah lalu.”
(TMQ al-Anfal [8]: 38).

Rasulullah SAW bersabda:

“Allah SWT tertawa gembira tatkala ada dua orang yang bunuh membunuh yang kedua-duanya masuk syurga. Yang seorang berperang di jalan Allah lalu dia itu terbunuh. Kemudian orang yang membunuhnya bertaubat kepada Allah lalu masuk Islam dan terbunuh pula (mati syahid).” [HR. Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah ra] (An-Nawawi, 1989).
 
Bagaimana cara bertaubat? Bagi mereka yang hendak bertaubat, wajib memenuhi syarat-syarat taubat agar taubatnya sah. Syarat-syarat ini tak ubahnya seperti syarat-syarat solat, yang jika tidak dipenuhi satu syarat atau lebih daripadanya, maka solatnya tidaklah sah dalam pandangan syara’. Demikian pula syarat-syarat taubat. Terdapat 3 (tiga) syarat taubat:

Pertama, menghentikan perbuatan maksiat yang telah dilakukan.

Kedua, menyesali di atas segala perbuatan maksiat yang telah dilakukan.

Ketiga, bertekad kuat (azam) untuk tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat itu lagi untuk selama-lamanya (An-Nawawi, 1989).

Jika salah satu syarat itu tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah dan tidak diterima oleh Allah SWT. Ia sama seperti orang yang sedang solat, tetapi tidak berwudhu, secara automatik solatnya tidak diterima. Seseorang yang bertaubat daripada suatu maksiat, tetapi masih tetap melakukan perbuatan yang sama (maksiat), maka taubatnya juga tidak akan diterima. Demikian pula orang yang bertaubat, tapi tidak menyesali dosanya, bahkan merasa bangga kerananya (maksiat tersebut), juga tidak diterima taubatnya. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud ra secara marfu’, “An-nadamu taubatun.” (Menyesal itu adalah taubat). [HR. Abu Dawud dan al-Hakim] (Al-Math, 1993).

Terdapat syarat keempat untuk  bertaubat, khusus untuk perbuatan dosa yang berhubung kait dengan sesama manusia. Seseorang itu hendaklah menyelesaikan permasalahan itu dengan orang yang terlibat. Jika ianya berupa hutang yang belum dilunaskan, padahal orang itu mampu (untuk membayarnya) , maka hutang tersebut wajib dilunaskan dengan segera. Jika menguasai (mengambil) harta orang (tanpa hak), maka wajib dikembalikan kepadanya. Jika berupa tuduhan atau umpatan (ghibah), maka wajib untuk minta maaf atau minta dihalalkan. Demikianlah seterusnya (Nawawi, 1989; ‘Atha`, 1993, Haqqi, 2003).

Apabila syarat-syarat taubat di atas telah dipenuhi, maka taubatnya sah dan insyaAllah akan diterima oleh Allah SWT. Namun perlu diingat, taubat itu ada batas (had) waktunya, iaitu ada titik waktu yang mana apabila telah sampai, maka suatu taubat itu tetap tidak  akan diterima walaupun telah memenuhi syarat-syaratnya secara lengkap. Batas waktu tersebut ada 2 (dua), iaitu:

Pertama, batas waktu untuk setiap individu manusia. Batas ini adalah ketika nyawa seseorang sudah sampai di tenggorokan (sakaratul maut). Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla akan menerima taubat seseorang, sebelum nyawanya sampai di tenggorokan (sebelum ia sekaratul maut).” [HR. at-Tirmidzi] .

Kedua, batas waktu umum, iaitu batas waktu yang berlaku secara universal untuk seluruh manusia. Batas ini adalah ketika matahari telah terbit dari arah barat, yang merupakan salah satu tanda besar (‘alamat al-kubro) akan datangnya Hari Kiamat. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari sebelah barat, maka Allah menerima taubatnya.” [HR. Muslim].
 
Seorang sahabat Nabi SAW, Hudzaifah bin Usaid ra, meriwayatkan, “Suatu saat Rasulullah memperhatikan kami yang sedang merenungkan sesuatu. Maka Rasulullah SAW bertanya, ‘Apakah yang sedang kalian renungkan?’ Kami menjawab, ‘Kami sedang mengingat Hari Kiamat.’ Kemudian Rasulullah bersabda, ‘Hari Kiamat tidak akan terjadi sebelum kalian melihat sebelumnya sepuluh tanda, iaitu: …(di antaranya) matahari terbit dari barat’.” [HR. Muslim] (Al-Jazairi, 1994).

Lalu, apakah jenis-jenis dosa yang wajib kita taubati pada saat ini? Seperti yang telah dijelaskan, segala dosa wajib untuk ditaubati. Ini kerana, perintah taubat tersebut datang dalam bentuk redaksi yang umum, meliputi segala bentuk dosa. Baik dosa akibat melakukan keharaman mahupun dosa akibat meninggalkan kewajiban. Baik dosa yang dilakukan secara orang individu, mahupun dosa yang dilakukan oleh sekelompok (jamaah), iaitu dosa dalam sebuah negeri atau sebuah kaum.

Terdapat banyak nas-nas syariah yang menjelaskan terjadinya suatu dosa terhadap suatu negeri (qaryah) atau suatu kaum (qaum), sebagaimana yang terdapat pada nas-nas syariah yang menjelaskan kewajiban taubat bagi suatu penduduk negeri (ahlul quro) (lihat surah al-A’raf [7]: 96).

Nas yang menjelaskan berlakunya dosa bagi sekelompok (masyarakat/ jemaah), misalnya Rasulullah SAW berkata:

“Jika riba dan zina telah berleluasa di suatu negeri (qaryah), maka mereka telah menghalalkan diri mereka untuk menerima azab Allah.” [HR. al-Hakim].

“Tidaklah dalam suatu kaum itu berleluasa (amalan) riba, melainkan dalam kaum itu berleluasa juga penyakit gila. Dan tidaklah berleluasa dalam kaum itu perzinaan, kecuali berleluasa pula dalam kaum itu kematian. Dan tidaklah kaum itu mengurangi takaran dan timbangan, melainkan Allah akan menahan titisan air hujan.” [HR. Ibnu Majah dan al-Baihaqi] (Muda’im, 1987).

Hadis-hadis di atas dengan jelas menunjukkan tentang adanya suatu dosa (riba, zina, mengurangi takaran dan timbangan) yang tidak hanya dilakukan oleh individu-individu tertentu, melainkan dilakukan oleh orang yang ramai (sekelompok) , sehingga diungkapkan dengan kalimat “zhahara fi qaryatin” (berleluasa di suatu negeri), atau “ma zhahara fi qaumin” (tidaklah berleluasa dalam suatu kaum…).

Di antara dosa jamaah (sekelompok manusia) itu, adalah adanya penguasa yang tidak menerapkan syariah Islam, iaitu menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, yang ternyata akan menimbulkan banyak bencana kepada rakyat yang dipimpinnya. Ini sebagaimana termaktub dalam hadis panjang di bawah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Bagaimana jika terjadi lima perkara, dan aku berlindung kepada Allah mudah-mudahan lima perkara itu tidak terjadi pada kalian dan kalian pun tidak mengalaminya. Pertama, tidaklah perbuatan zina itu berleluasa di dalam suatu kaum, dikerjakan secara terang-terangan, melainkan terdapat pada kaum itu tha’un (wabah penyakit) dan kelaparan yang tidak pernah dijumpai oleh nenek moyang mereka dahulu.
 
Kedua, tidaklah kaum itu menahan zakat, melainkan mereka itu dicegah oleh Allah dari turunnya hujan dari langit. Andaikata tidak ada binatang ternak, tentu mereka tidak akan mendapat hujan.

Ketiga, tidaklah kaum itu mengurangi takaran dan timbangan, melainkan mereka disiksa oleh Allah dengan kesengsaraan selama bertahun-tahun, sukarnya mendapatkan keperluan hidup, dan kezaliman penguasa.

Keempat, tidaklah pemimpin-pemimpin mereka itu menghukumi dengan selain apa yang diturunkan Allah, melainkan mereka akan dikuasai oleh musuh mereka lalu musuh mereka ini merampas sebahagian apa yang menjadi milik kaum itu (kekayaan, kedaulatan, dan sebagainya).

Kelima, tidaklah mereka (pemimpin-pemimpin itu) mengabaikan Kitabullah dan Sunnah Nabi mereka, melainkan Allah menimpakan bahaya di antara mereka sendiri.” [HR. Ahmad dan Ibnu Majah] (Muda’im, 1987)

Hadis-hadis di atas menegaskan bahawa di antara dosa jamaah yang terjadi di suatu kaum, yakni seperti keadaan kita sekarang, adalah dosa akibat daripada perbuatan pemimpin-pemimpin kita yang tidak melakukan apa yang diturunkan Allah (syariah Islam).

Maka, sudah menjadi kewajiban bagi kita semua untuk bertaubat. Para pemegang tampuk kekuasaan di seluruh negeri kaum Muslimin wajib kembali kepada syariah Islam, dan kita juga (sebagai rakyat) wajib melakukan amar ma’ruf nahi munkar terhadap penguasa agar mereka menerapkan syariah Islam.

Namun, sebagaimana permusuhan abadi antara Adam AS (yang mahu bertaubat) dengan Iblis (yang enggan bertaubat), pada saat ini muncul pertentangan di antara orang-orang yang hendak bertaubat dengan kembali menerapkan syariah Islam, dengan golongan orang-orang yang menolak taubat dengan cara menentang syariah Islam, serta berusaha melestarikan sistem sekular warisan nenek moyang yang berasal dari penjajah kafir. Allah SWT menjelaskan hakikat pertentangan seperti ini dengan firman-Nya:

“Dan jika dikatakan kepada mereka, ‘Ikutilah apa-apa yang diturunkan Allah!’ Maka mereka berkata, ‘Tetapi kami mengikuti apa-apa yang kami dapati dari bapa-bapa kami.’ (Adakah mereka akan tetap mengikuti bapa-bapa mereka) meskipun bapa-bapa mereka itu tidak memikirkan suatu apa pun dan tidak pula mendapat petunjuk?” (TMQ al-Baqarah [2]: 170).

Mereka yang tidak mahu bertaubat pada saat ini, adalah seperti kelompok kaum liberal-sekular yang selalu sahaja memusuhi dan memerangi para pejuang yang mahukan agar syariah Islam itu diterapkan di muka bumi. Tidak diragukan lagi, bahawa mereka adalah ibarat syaitan pengikut Iblis yang tidak mahu bertaubat! Mereka adalah syaitan yang menjadi musuh Rasulullah SAW, sebagaimana Iblis musuh bagi Nabi Adam as. Firman Allah SWT :
 
“Demikianlah Kami jadikan musuh bagi tiap-tiap nabi, iaitu syaitan dari golongan manusia dan dari golongan jin. Sebahagian mereka membisikkan perkataan yang indah kepada yang lain, untuk membuat tipu daya…” (TMQ al-An’am [6]: 112).

Hendaknya kita tidak tertipu dengan tipu daya mereka, yang sering kali mempropagandakan berbagai pemikiran yang lahir daripada jenama yang sama iaitu sekularisma seperti yang telah dipraktikkan di Amerika Syarikat dan Negara-negara Barat lainnya. Mereka mengaku bahawa Barat telah berjaya dalam kehidupan pada saat ini, walaupun tidak menjalankan syariah Islam.

Tidak dinafikan bahawa terdapat manusia yang tidak taat (orang kafir dan muslim) mendapat limpahan rezeki dari Allah SWT. Keadaan mereka selamat dan tidak mendapat siksaan dan bencana dari Allah SWT. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya ia adalah tipu daya daripada Allah SWT, dan bukan bermakna Allah SWT meredhai mereka. Allah SWT berfirman:

“Kemudian apabila mereka melupakan apa Yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu Segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria Dengan Segala nikmat Yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana Yang membinasakan) , maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan) .” (TMQ al-An’am [6]: 44).

Memang pada dasarnya, setiap dosa dan kemaksiatan akan membawa bencana dan musibah (TMQ Thaha [20]: 123-124). Tetapi, adakalanya pelaku maksiat dibiarkan selamat (oleh Allah) di dunia. Tapi ini bukan bererti mereka akan selamat dari azab Allah. Azabnya ditunda kelak pada Hari Kiamat. Rasulullah SAW menjelaskan:

“Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka Allah akan mempercepat hukuman atas dosanya (di dunia). Dan jika Allah menghendaki bagi hamba-Nya keburukan, maka Allah menyimpan dosanya sehingga hambaNya itu akan menebusnya pada Hari Kiamat.” [HR. at-Tirmidzi dan al-Baihaqi] (Almath, 1993).

Akhir sekali, marilah kita bertaubat kepada Allah di atas segala dosa yang telah kita lakukan. Inilah kesempatan yang masih ada, sebelum nyawa berada di tenggorokan. Ingatlah, bahawasanya kematian itu adakalanya datang dengan sangat mendadak dan tidak pernah diduga bila ia akan datang.

Marilah kita sebagai kaum muslimin dalam satu jamaah, bertaubat dengan berusaha untuk menerapkan Syariah Islam dan menghapuskan sistem sekular yang ada pada saat ini. Marilah kita renungkan bersama firman Allah:

“Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (TMQ al-A’raf [7]: 96).
 
Allah SWT berfirman pula:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (TMQ ar-Rum [30]: 41).

 
Tinggalkan komen

Posted by di 15/08/2010 in Tazkirah

 

Label:

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: